Hiburan

Selepas tamat program AF4, Diddy genggam PhD selepas lalui ujian getir

KUALA LUMPUR: Bagaikan perjalanan panjang, mencabar dan berliku buat penyanyi tinggi lampai, Diddy Hirdy, 37, dalam melengkapkan pengajian peringkat sarjana hingga doktor falsafah (PhD).

Bukan mudah menggapai kejayaan di puncak menara gading, apatah lagi perjalanan menyempurnakan pengajian sarjana dan PhD di bumi asing.

Namun, Diddy kini mampu menarik nafas lega apabila kesusahan dilalui sejak 2017 memberikan hasil berbaloi apabila menggenggam segulung PhD dalam bidang muzik dari University of Liverpool, England, minggu lalu.

Diddy menangis sepanjang malam apabila panel penilai dari University of Liverpool dan Queen Margaret University, Scotland meluluskannya dengan sedikit pembetulan selepas melalui proses pembentangan viva dalam talian.

“Alhamdulillah, saya berjaya menyelesaikan tugasan walaupun melalui pelbagai cabaran getir selama lima tahun.

“Saya bersyukur sangat, terus teringat kata-kata seorang profesor. Beliau beritahu, untuk berjaya pada peringkat PhD bergantung kepada rezeki.

“Tidak semestinya pandai akan lulus. Jika Allah tak izinkan, tidak menjadi juga. Apabila panel penilai memaklumkan saya lulus, macam tak percaya pun ada,” katanya kepada BH Online.

Diddy yang kini bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah berkata, pengalaman dilalui umpama pengorbanan yang akhirnya berbayar.

“Mengenangkan kesukaran dilalui, apatah lagi, membawa isteri dan dua anak kecil merantau di bumi asing, perasaan saya sangat lega.

“Sebelum ini, saya merasakan ada batu besar membebani saya. Ada masanya nak berjumpa orang pun rasa malas, namun pengorbanan saya kini berbayar,” katanya.

Berkongsi cabaran dilalui sepanjang pengajian, Diddy atau nama sebenarnya, Syamsul Hirdi Muhid berkata, ia sukar terutama buat penuntut yang merantau ke luar negara.

“Saya boleh sifatkan ia perjalanan sangat mencabar. Antara cabaran ditempuhi apabila saya terpaksa bertukar penyelia.

“Ketika menuntut di University of Glasgow, Scotland, penyelia berpindah ke Finland. Beliau mengajak turut serta, tetapi saya tidak mampu memandangkan baru 10 bulan berada di Glasgow.

“Namun, saya memutuskan berpindah ke Liverpool dan meneruskannya bersama penyelia ketika peringkat sarjana.

“Sudah tentu saya berdepan cabaran besar apabila perlu bertukar penyelia dan berpindah. Jujurnya, ia sedikit sebanyak mengganggu pengajian saya,” katanya.

Diddy terkenang kesukaran dilalui, apatah lagi, membawa isteri dan dua cahaya mata yang masih kecil ketika merantau di negara orang. – Foto IG Diddy Hirdy

Tambah Diddy, antara cabaran lain dilalui apabila diberikan tempoh singkat ketika melakukan pembentangan viva.

“Proses pembentangan viva sangat singkat iaitu sejam 30 minit, sedangkan orang lain lebih lama. Ada yang diberikan masa tiga jam, malah, disambung keesokan hari.

“Bagaimanapun, ini ujian buat saya. Apabila berbual dengan rakan yang turut mengikuti pengajian PhD, mereka katakan mungkin perjalanan saya berliku, jadi, Allah permudahkan dalam masa singkat… Alhamdulillah,” katanya.

Diddy berkata, pengorbanan dan cabaran dilalui membuatkannya lebih menghargai apa yang diperoleh dan berjanji tidak mensia-siakan peluang diberikan banyak pihak terutama UUM.

“Saya bukan berasal daripada keluarga senang. Saya belajar di luar negara dengan biasiswa dari 2014 hingga 2020.

“Untuk pengajian sarjana, saya peroleh biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi, manakala PhD daripada UUM. Disebabkan itu, saya perlu berkhidmat dengan UUM selepas tamat pengajian,” katanya.

Tidak hanya itu, Diddy mengakui, dia terpaksa mengorbankan kerjaya seni selepas tamat dengan program realiti, Akademi Fantasia musim keempat (AF4) demi mengejar pengajian.

“Selepas beberapa tahun aktif menyanyi, saya terus sambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di UUM.

“Ketika itu, UUM membuka ruang kepada anak seni menyambung pengajian, jadi ia bagaikan peluang keemasan.

“Saya memperoleh keputusan cemerlang dan ditawarkan menjadi tutor di UUM. Seterusnya, saya dapat pula peluang menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.

“Nak tak nak, saya terpaksa korban dan lupakan kerjaya nyanyian. Sekarang sudah selesai PhD, mungkin saya boleh kembali aktif dalam bidang nyanyian,” katanya yang pernah muncul dengan single popular Saat, Bidadari Hati dan Pergilah.

Sumber: BH

Jangan lupa like and share ya..

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.