Hiburan

Riena Diana terselamat, kontrak bersama Hot FM masih ‘val1d’ – “Saya menangis Mark Adam dan Fizie pergi serentak”

HANYA linangan air mata dapat menggambarkan perasaan sedih pelakon Riena Diana ketika menerima berita mengejutkan apabila rakan penyampai Fizie dan Mark Adam ditamatkan kontrak di Hot FM.

Mengakui terkejut dengan berita tersebut, Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal menangis pada hari terakhir mereka bergandingan sebagai trio penyampai di slot Geng Pagi Hot pada pagi, Isnin.

“Sejujurnya saya agak terkejut dan pada masa yang sama memang sedih sangat. Mark Adam dan Fizie pergi tinggalkan Hot FM serentak.

 

Fizie dan Mark Adam sedih meninggalkan Hot FM.

“Saya baru bekerja dengan mereka berdua… tak sampai setahun pun lagi. Hanya beberapa bulan sahaja dapat bergandingan dengan mereka.

“Pagi semalam (Isnin), memang saya menangis apabila mereka ucapkan selamat tinggal ketika kami sedang ke udara di radio,” kata Riena ketika dihubungi mStar.

Pada pagi Isnin pendengar stesen berkenaan dikejutkan dengan pengunduran Mark apabila kontrak dua tahun yang dipersetujui sebelum ini dipendekkan kepada hanya enam bulan.

Begitu juga dengan Fizie, kontraknya yang sepatutnya tamat pada Januari depan ditamatkan lebih awal.

Fizie banyak memberi tunjuk ajar kepada saya… begitu juga dengan Mark Adam.

RIENA DIANA

PELAKON

Menerusi laporan mStar pada Isnin, Mark akui dia sedih dan terkilan kerana sudah mula selesa dengan kerjaya sebagai penyampai radio.

Manakala Fizie berkata dia melihat peluang ini sebagai satu ‘penebusan’ untuknya agar dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya memandangkan sebelum ini dia terlalu sibuk dengan kerja.

Dalam pada itu, pelakon drama siri Kampung People ini memberitahu banyak kenangan dan ilmu yang dipelajari sepanjang dia bergandingan dengan dua penyampai radio tersebut.

 

Riena sempat bergandingan dengan Mark Adam dan Fizie selama enam bulan.

Biarpun berasa sedih tidak dapat lagi bersiaran bersama di stesen radio, namun aktres berusia 24 tahun ini tetap mendoakan yang terbaik buat dua orang rakannya itu.

“Walaupun hanya sekejap tapi banyak kenangan saya dengan mereka berdua. Fizie banyak memberi tunjuk ajar kepada saya… begitu juga dengan Mark Adam.

“Apa-apa pun, saya doakan agar segala urusan mereka berdua dipermudahkan,” ujarnya.

Untuk rekod Riena memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio Hot FM pada awal Februari lalu sehingga kini.

Sumber: mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *