Hiburan

Issey tinggalkan Suria FM selepas 3 tahun bersama ‘Team Pagi Suria’

SELEPAS tiga tahun bersama Suria FM, penyampai segmen Team Pagi Suria (TPS) iaitu Issey akhirnya mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dengan stesen radio tersebut.

Suria FM dalam satu kenytaan memaklumkan kontrak perkhidmatan Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin berakhir pada 31 Julai ini namun segmen TPS pada Jumaat merupakan yang terakhir buatnya.

Menurut kenyataan tersebut lagi, Issey yang juga seorang pelakon mengambil keputusan tersebut kerana mempunyai perancangan kerjaya tersendiri dalam dunia hiburan selain menghabiskan cutinya yang masih berbaki.

“Suria FM menghormati keputusan Issey yang mempunyai perancangan kerjayanya tersendiri di dalam dunia hiburan serta mengucapkan terima kasih di atas khidmatnya selama ini sebagai penyampai di Suria FM.

 

Issey bersama Ajak dan Fizi Ali mengendali segmen Team Pagi Suria.

“Tiada perancangan mengenai siapa yang bakal menjadi pengganti Issey buat masa ini dan segmen TPS akan kekal ke udara bersama Ajak dan Fizi Ali,” tulisnya.

Issey turut mengumumkan keputusan tersebut ketika mengendali segmen TPS bersama dua rakannya iaitu Ajak dan Fizi Ali pada pagi, Jumaat.

Untuk rekod, pelakon siri sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) itu memulakan tugasnya bersama stesen radio Suria FM pada 6 Ogos 2018.

Saya ada perancangan saya sendiri cuma akan ada masa saya beritahu pada masa yang sesuai nanti.

ISSEY

PENYAMPAI RADIO

Dalam pada itu, Issey ketika dihubungi mStar memberitahu keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu dilakukan dengan berat hati.

Issey bagaimanapun berkata dia mempunyai perancangan tersendiri dalam industri hiburan namun hanya akan memaklumkan mengenai perkara tersebut pada masa yang sesuai kelak.

“Hari ini hari terakhir saya di Suria. Saya sendiri yang memilih untuk tidak disambungkan kontrak di Suria. Saya sayang suria. Tapi saya buat keputusan ini sebab saya ada rancangan sendiri.

 

Issey membuat keputusan tersebut kerana mempunyai perancangan sendiri dalam industri hiburan.

“Kenangan tiga tahun di Suria akan jadi satu memori yang indah dan cukup bermakna untuk saya dan adik-beradik di Suria.

“Insya-Allah rezeki akan ada nanti tapi macam itulah. Buat masa sekarang ini, saya ada perancangan sendiri. Saya akan beritahu pada masa yang sesuai,” ujarnya.

Sumber : mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *