Gambar, tulisan asal bukan penulisan saya – pengurus media sosial Noor Kartini

PETALING JAYA – Individu yang bertanggungjawab menguruskan akaun media sosial ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed tampil melakukan permohonan maaf secara terbuka berhubung isu tangkap layar yang tular semalam.
Individu tersebut, Zulshafiqah Zulkalfi berkata, dia tersilap memuat naik tangkap layar dan ingin menjelaskan keadaan sebenar yang telah berlaku.
“Tangkap layar tersebut adalah bertujuan untuk rujukan saya sahaja, tiada sebarang niat untuk dimuat naik dalam Instagram Datin Noor Kartini mahupun Instagram peribadi saya.
“Saya juga mahu menjelaskan, gambar dan tulisan asal yang dipaparkan adalah bukan dari penulisan saya mahupun beliau sendiri,” kata wanita berkenaan.
Penjelasan tersebut disertakan bersama permohonan maaf wanita itu menerusi sepucuk surat yang dimuat naik dalam Instagram Zulshafiqah, @zulshafiqah.
Wanita itu menyatakan permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar termasuk seluruh Kerabat Diraja Johor.
PERMOHONAN maaf oleh Zulshafiqah yang dimuat naik dalam Instagram @zulshafiqah
Tidak terkecuali, dia turut memohon maaf terhadap Noor kartini dan seluruh keluarga atas kecuaian yang berlaku.
“Saya juga telah memberi kenyataan dan kerjasama sepenuhnyaa kepada pihak polis bagi membantu menyelesaikan siasatan berhubung isu yang tular ini.
“Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dan sekali lagi memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku,” katanya.
Semalam, satu laporan polis telah dibuat ibu selebriti Neelofa, Noor Kartini selepas hantaran InstaStorynya yang menyentuh sensitiviti sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia tular dalam laman sosial.
Hantaran berkenaan memaparkan Noor Kartini melalui InstaStory miliknya, mempertikaikan sistem tersebut dan meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari lalu berkuat kuasa sehingga 1 Ogos depan.
Sumber: Utusan Online