Hiburan

Haqiem Rusli umum bakal kahwin tak lama lagi. Tak disangka-sangka ini respon peminat beliau

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33), Haqiem Rusli, 23, melakukan kejutan apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, penghujung tahun ini.

Menerusi sesi live dalam Instagram (IG), jam 2 pagi tadi, penyanyi lagu Mimpi tidak berniat menyembunyikan perkara baik pada pengetahuan peminat dan ahli kelab peminatnya, Qiemilio.

Bagaimanapun, Haqiem terkejut hampir 99 peratus kelompok peminat merestui keputusan dibuatnya. Malah, Haqiem menerusi ciapan dalam laman Twitter menulis, ‘maklum balas positif dan sesungguhnya, saya sangat gembira’.

“Saya tidak tahu bagaimana mendapat kekuatan mahu berkongsi soal mendirikan masjid ini. Tetapi, saya percaya perkara baik tidak boleh disembunyikan.

“Cuma, masih belum ada tarikh tepat mengenai tarikh yang bakal berlangsung, hujung tahun ini. Jujurnya, saya pun sudah menghadiri kursus kahwin, tahun lalu,” katanya.

 

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33), Haqiem Rusli masih belum mendapat tarikh tepat untuk majlis perkahwinannya, penghujung tahun ini. – Foto IG Haqiem Rusli

Ditanya siapakah gadis bertuah yang bakal bergelar suri hidupnya, artis naungan FMC Music itu enggan berkongsi lanjut.

Bagaimanapun, difahamkan, Haqiem mengenali bakal isterinya, sejak dua tahun lalu.

“Siapa calon bakal isteri, biarlah saya umumkan identitinya ketika majlis perkahwinan nanti.

“Saya hanya ingin peminat tahu, saya akan berkahwin, tidak lama lagi. Selebihnya, saya akan kongsi kelak,” katanya.

Ditanya tidakkah keputusan berkahwin mungkin membuatkan saham jatuh, Haqiem tidak berfikir sebegitu.

“Saya tak berfikir sampai ke tahap nama dan populariti boleh merudum apabila mengumumkan bakal kahwin.

“Saya reda dengan apa sahaja kemungkinan yang datang. Janji peminat terbuka dan merestui keputusan besar, itupun sudah membuatkan saya bersyukur,” katanya.

 

sumber: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *