“Keadaan terbaru Sarah tidak okey”, tahap oksigen Siti Sarah tinggal 40 peratus

Kuala Lumpur: “Saya baru dimaklumkan oleh doktor yang keadaan Sarah tidak okey,” kata pelawak Shuib mengenai keadaan terkini isterinya, Siti Sarah yang berada di unit rawatan rapi (1CU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini.
Shuib berkata, tahap oksigen Siti Sarah kini menurun kepada 40 peratus.
“Sebelum saya masuk sesi siaran langsung ini, doktor baru saja menghubungi saya memaklumkan keadaan Sarah sangat tidak baik.
“Dia punya oksigen tinggal 40 peratus. Doktor sedang berusaha sebaik mungkin,” katanya ketika sesi siaran langsung bacaan Yasin dan doa untuk penyanyi itu.
Shuib dilihat gagal menahan air mata daripada terus mengalir dan meminta agar majlis bacaan Yassin dimulakan dengan segera supaya dapat mendoakan isteri tercintanya.
Bacaan Yassin dan doa itu diketuai oleh Uztaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Lebih 900 orang menyertai bacaan Yassin berkenaan yang sedang berlangsung secara maya ketika ini.
Semalam, Shuib memberitahu keadaan Siti Sarah yang ditiarapkan dengan harapan oksigen dan paru-paru boleh bekerjasama.
Katanya, sama-sama kita doakan semoga Siti Sarah berada dalam keadaan normal dan diberikan kesembuhan secepat mungkin.
Siti Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan itu dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu lalu kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan selepas dij4ngkiti C0V1D-19.
Selain Siti Sarah, Shuib bersama tiga anak mereka Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Shuib dan anak-anaknya bagaimanapun, disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
Berikutan Siti Sarah sedang hamil tujuh bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 5 petang Jumaat.
Anak keempat pasangan artis itu diberi nama Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil.
Kata Shuib, anak bongsu mereka itu masih ditempatkan di HCTM tetapi sudah mula menunjukkan perkembangan yang baik.
“Pada awalnya doktor maklumkan anak kami tidak bernafas dan tidak bergerak tetapi selepas memantaunya … sudah mula menunjukkan perkembangan, sudah mula menendang kaki dan menggenggam tangannya selain sudah membuka mata,” cerita Shuib dalam nada penuh syukur.
Sumber: Metro via utusan