Hiburan

Macam b4dut, murah – Chef Wan kritik busana atlet negara di Olimpik Tokyo

PETALING JAYA – Lain orang, lain pendapat. Begitu juga dengan cef selebriti Datuk Chef Wan yang lantang menyuarakan kritikan peribadi terhadap busana delegasi atlet negara ketika acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo, Jepun malam tadi sebagai langsung tidak menarik dan kelihatan murahan.

Selain nampak serabut atau cacamarba, Chef Wan turut melabelkan atlet yang menyarung busana berkonsapkan pakaian tradisional Melayu, bertanjak untuk lelaki dan baju kurung bagi atlet wanita tersebut seperti badut, disebabkan paduan warna kuning dan merah.

“Pandangan pertama saya, lah tak menarik langsung? Kenapa mereka pakai macam badut. Kuning, merah dan corak geometrik, semak! Kerja menjahit pun nampak tak kemas dan kelihatan murah,” katanya.

Cef berusia 63 tahun itu berkata, Malaysia sebenarnya kaya dengan kepelbagaian budaya dan baju kebangsaan kaum lain boleh diketengahkan kepada dunia.

Saranannya, memandangkan acara tersebut diadakan lima tahun sekali, jadi tidak salah sekiranya usaha lebih diberikan terhadap rekaan kostum atlet negara dengan membuka undian kepada pereka tempatan dan rakyat Malaysia boleh mengundi hasil kerja yang terbaik.

“Paling tidak satu dunia tengok macam mana rupanya. Sekurang-kurangnya mereka akan kata, wow itu Malaysia! Tersendiri dan menyerlah.

“Ini tak habis-habis dengan si Hang itu, Hang ini! Apa kata anda? Atau cuma mata saya yang nampak lain. Inspirasi daripada Hang Tuah? Tak sudah-sudah pusing situ juga,” ujarnya.

Di sebalik ‘hentamannya’, cef selebriti itu pada masa sama tidak lupa menyampaikan ucapan selamat berjuang kepada barisan atlet tanah air demi mengejar misi memburu pingat emas.

“Tiada apa yang kami harapkan selain yang terbaik untuk mereka. Doa-doakan semoga semua selamat dan sihat-sihat selalu dalam usaha mengharumkan nama negara.

“Sangat berbangga dengan pencapaian dan pengorbanan mereka yang berusaha gigih untuk pertandingan ini, Insya-Allah,” katanya lagi.

Semalam, seramai 13 wakil kebangsaan termasuk atlet dan pegawai berarak masuk ketika acara pembukaan Olimpik Tokyo lengkap berbusana dengan tema Laksamana Hang Tuah.

Acara tersebut menyaksikan tugas pembawa Jalur Gemilang diberikan kepada atlet badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying.

Warna pakaian kontinjen negara diinspirasikan daripada warna Jalur Gemilang dan direka oleh Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. – K! ONLINE

 


Sumber: Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *