Hiburan

Kotak kena tebuk, barang hilang ketika penghantaran… Saharul Ridzwan berdepan ujian – “Kalau dia tidak sengaja, saya halalkan”

BARU sahaja memulakan perniagaan, pelakon Saharul Ridzwan berdepan ujian apabila sebahagian produk wangian yang dihantar kepada ejen hilang ketika penghantaran.

Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 32, meluahkan rasa kesal apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuka bungkusan berkenaan tanpa pengetahuan pihaknya.

“Kita dah post barang tu, dah balut elok, ada empat set. Lepas itu balut lagi dengan plastik hitam kemudian tampalsticker kita sendiri.

“Tapi apabila sampai dekat ejen, sticker tu berubah. Sticker daripada syarikat penghantaran tu sendiri mungkin sebab tertanggal so mereka guna sticker mereka.

“Dalam tu semua ada 20 unit tapi 10 unit hilang,” luahnya kepada mStar.

 

Perkongsian Saharul di Instagram miliknya.

Pelakon Sabarlah Duhai Hati ini, berkata dia terpaksa menanggung kerugian dengan mengganti produk baharu kepada ejen jualannya.

Bukan itu sahaja, perkara itu turut menjejaskan kepercayaan orang ramai kepada ejen dan imej perniagaannya.

“Saya terpaksa ganti yang baru kepada ejen lepas tu claim dengan syarikat penghantaran tu, itu je boleh buat.

Kalau memang betul dia tidak sengaja, saya halalkan.

SAHARUL RIDZWAN

PELAKON

“Kerugian memang kecil, tapi bermakna kepada saya dan ejen jualan. Kasihan kepada customer terpaksa tunggu lagi produk baru untuk sampai. Ini pun menjejaskan kepercayaan mereka kepada kami,” ujarnya.

Saharul baharu sahaja menjalankan perniagaan wangian tersebut pada Februari lepas.

Katanya, kejadian yang berlaku itu akan dijadikan pengajaran dan cabaran dalam sebuah perniagaan.

 

Saharul mula berniaga produk wangian sejak Februari lalu.

Dia turut menasihatkan individu yang berkemungkinan terambil produk tersebut agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab.

“Nasihat saya, kita tak boleh nak halang atau nak salahkan syarikat penghantaran. Saya pasti ada individu yang mungkin terambil. Saya tak rasa ia sabotaj.

“Saya buat posting tu berharap siapa yang terambil tu akan baca, mungkin lepas ni tak buat dekat orang lain. Kalau memang betul dia tidak sengaja, saya halalkan,” katanya.

Sumber: mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *