Hiburan

Kini Dayah Zubit dah ada bisnes sendiri… teruskan tugas jaga Aafiyah, Afwa walau sudah berkahwin

BAGI yang mengikuti perkembangan anak penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah pasti akan perasan kelibat seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai kakak.

‘Kakak’ yang dimaksudkan adalah Nur Hidayah Zubit atau lebih mesra dengan sapaan Dayah yang merupakan pengasuh kepada Aafiyah.

Dayah mempunyai hubungan yang rapat dengan Aafiyah.

Tiga tahun bergelar pengasuh Aafiyah turut memberi tempias kepada wanita kelahiran Padang Serai, Kedah itu apabila ramai yang ingin mengetahui tentang dirinya sehinggakan dia sering menjadi perhatian netizen.

“Pada awalnya saya memang terkejut dengan perhatian diberikan tetapi saya faham kerana apa sahaja berkaitan dengan Mak Iti (panggilan untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza) peminat memang nak ambil tahu.

“Malah sejak awal lagi, Mak Iti dan Datuk K sudah jelaskan kepada saya mengenai perkara itu selain berpesan agar menjaga batasan memandangkan setiap gerak geri akan menjadi perhatian orang ramai,” katanya kepada mStar.

Dayah, 25, yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan pemain bola sepak Terengganu FC II, Mohammad Ridzuan Razali pada 31 Mei lalu turut berkongsi pengalamannya bekerja sebagai pengasuh Aafiyah.

 

Dayah mengakui gementar ketika pertama kali bertemu Siti dan suami, Datuk K.

Gementar perlu asuh anak penyanyi nombor satu negara!

Cerita Dayah, dia mula bekerja dengan Siti selepas mendapat tahu penyanyi itu sedang mencari jururawat peribadi dan kebetulan dia baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Pahang.

Pada awalnya kata Dayah, dia langsung tidak mengetahui sebenarnya tugas itu adalah untuk menjaga Aafiyah dan mengakui berasa gementar apabila buat pertama kali bertentang mata dengan penyanyi kesayangannya itu untuk sesi temuduga.

“Perasaan gementar itu jangan cakap… nervous sangat tetapi Alhamdulillah Mak Iti dan Datuk Seri Khalid cukup ramah dan menyenangkan.

“Alhamdulillah saya diterima bekerja dan sejak 28 Mei 2018 bermulalah tugas saya sebagai pengasuh Aafiyah,” katanya.

Bagi memudahkan urusan menjaga Aafiyah, Dayah memberitahu sejak itu dia turut menetap di kediaman pasangan berkenaan kerana perlu sentiasa berada di sisi Aafiyah apatah lagi ketika Siti dan Khalid tiada di rumah atas urusan kerja.

“Mak Iti, Datuk K memang banyak bagi sokongan dan tunjuk ajar… kehadiran saya hanya membantu memudahkan urusan dan kebanyakannya memang diuruskan sendiri oleh mereka.

DAYAH ZUBIT

PENGASUH ANAK-ANAK SITI NURHALIZA

“Jujurnya perasaan takut itu ada kerana saya diberi tanggungjawab menjaga anak penyanyi nombor satu negara. Kehadirannya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Tetapi saya sahut cabaran itu kerana saya memang suka menjaga kanak-kanak selain dapat mempraktikkan semua ilmu yang saya belajar sebelum ini.

“Saya memang tiada pengalaman khusus dalam mengasuh kanak-kanak tetapi Alhamdulillah sebelum ini ada pengalaman bertugas di wad pediatrik ketika menjalani latihan praktikal,” ujarnya.

Bercakap mengenai Aafiyah, Dayah menyifatkan kanak-kanak itu mudah diuruskan selain Siti dan Khalid sentiasa membantu dalam memastikan kebajikannya terjaga.

 

Dayah dan Mohammad Ridzuan baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 31 Mei lalu.

“Mak Iti, Datuk K memang banyak bagi sokongan dan tunjuk ajar… kehadiran saya hanya membantu memudahkan urusan dan kebanyakannya memang diuruskan sendiri oleh mereka.

“Datuk K lebih tegas dalam mendisiplinkan Aafiyah contohnya waktu tidur kena cukup, pemakanan dan sebagainya. Jadi saya akan ikut dan Alhamdulillah Aafiyah pula mendengar kata,” katanya.

Paling penting kata Dayah, pasangan itu sentiasa membuatkan dia berasa seperti salah seorang ahli keluarga dan melayannya dengan cukup baik sepanjang bekerja dan tinggal bersama mereka.

 

Kini bergelar usahawan, Siti banyak beri nasihat

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Dayah memberitahu dia bersyukur kerana cita-citanya untuk bergelar seorang usahawan terlaksana apabila tampil dengan rangkaian fesyen diberi nama DY6 sejak Januari lalu.

 

Dayah memberitahu Siti banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar.

Kata Dayah, seawal remaja lagi, dia memang menyimpan hasrat untuk mempunyai bisnes sendiri dan tidak menyangka rezeki itu datang ketika bekerja dengan Siti sekeluarga.

“Sejak dahulu lagi saya memang minat berniaga dan menyimpan hasrat untuk bergelar seorang usahawan dan Allah mengkabulkan impian itu ketika saya bekerja dengan Mak Iti.

“Alhamdulillah kelebihan bekerja dengan Mak Iti memudahkan laluan saya dan saya anggap ini semua aturan Allah yang memberi rezeki,” katanya.

Meskipun baru sahaja dilancarkan, Dayah memberitahu koleksi pertama tudung yang dijual di bawah label itu sudah pun habis terjual dan kini sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan koleksi terbaharu tidak lama lagi.

 

Dayah kini turut bergelar usahawan menerusi jenama DY6.

Dayah juga memberitahu, majikannya juga tidak pernah menghalangnya untuk menjalankan perniagaan malah Siti dan Datuk K banyak memberi galakan dan nasihat agar bisnes dijalankan berjaya.

“Suami saya juga banyak mendorong dan tanpanya mungkin DY6 hanya sekadar angan-angan dan sebelum ini juga saya juga banyak menyertai kelas tentang bisnes bagi memantapkan pelan perniagaan.

“Mak Iti dan Datuk K pun banyak nasihat agar saya buat betul-betul dan kerja keras jika ini pilihan saya dan Alhamdulillah saya memang terharu dengan sokongan mereka berdua,” ujarnya.

Masih pengasuh Aafiyah anak-anak Siti Nurhaliza

Selepas bergelar isteri kepada Mohammad Ridzuan, Dayah memberitahu dia tidak berhasrat untuk melepaskan tugasnya sebagai pengasuh Aafiyah malah dia akan meneruskan tugasnya seperti biasa selepas ini.

 

Selain Aafiyah, Dayah turut mengasuh Muhammad Afwa.

Malah dia kini mempunyai tanggungjawab baharu iaitu mengasuh anak kedua pasangan itu, Muhammad Afwa yang dilahirkan pada 19 April lalu.

“Walaupun sudah berkahwin saya masih bekerja sebagai pengasuh kepada anak-anak Siti Nurhaliza.

“Sebelum kahwin lagi memang saya dan suami sudah berbincang tentang hal ini dan kami akan berjauhan disebabkan tugas masing-masing,” jelasnya.

Ketika ini, Dayah memberitahu dia masih berada di Terengganu disebabkan total lockdown dan akan kembali menyambung tugasnya selepas mendapat surat kebenaran merentas negeri.

Sumber: mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *