Viral

Peniaga bukan Muslim guna nama Melayu jual makanan

JOHOR BAHRU – Sebuah kedai Kak Siti Ayam Penyet di Taman Johor Jaya, dekat sini yang dipercayai diusahakan oleh peniaga bukan Muslim tidak lagi beroperasi setelah ia tular di media sosial semalam.

Tinjauan yang dibuat ke premis terbabit yang beroperasi secara atas talian mendapati pengusahanya sudah menghentikan perniagaan malah turut menurunkan banting jualan mereka.

Lelaki berusia lingkungan 40-an tahun itu enggan mengulas lanjut mengenai premisnya menjadi viral dan dia menjelaskan tidak akan berniaga lagi.

“Tadi ada pihak datang memberitahu supaya premis saya ditutup kerana menjadi viral dan menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Kedai Kak Siti Ayam Penyet menjadi viral semalam di laman sosial selepas pengguna mendakwa ia dikendalikan oleh peniaga bukan Islam namun menjual makanan Muslim tanpa ada penjelasan halal.

Menurut berita yang tular itu, perkara tersebut didedahkan oleh pekerja penghantar makanan yang hairan gerai yang menggunakan nama Melayu itu diuruskan oleh peniaga bukan Islam.

Kedai terbabit menggunakan aplikasi penghantaran makanan dalam talian untuk pesanan dan penghantaran makanan mereka kepada pelanggannya.

Pendedahan tersebut mendatangkan kemarahan dalam kalangan warganet yang menyifatkan perbuatan itu sebagai memperdayakan masyarakat Islam di kawasan berkenaan.

Menurut beberapa pengguna media sosial memaklumkan premis yang beroperasi di dalam kawasan rumah itu telah didatangi pihak penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) susulan laporan diterima.

Rata-rata warganet mendesak pihak berkuasa memastikan platform aplikasi penghantar makanan dapat meletakkan status halal di setiap premis perniagaan online bagi mengelakkan isu sama berulang.-K! ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *