Hiburan

“Selagi tak ada rasa bahagia. Selagi ada kesulitan. Mana mungkin akan melupakan” -lntan Saleh

Kuala Lumpur: Bekas madu pelakon Izreen Azminda, Intan Saleh bagaikan masih ada ‘memendam’ sesuatu di hati menerusi perkongsian dibuat di Instagramnya, semalam.

Pada luahan coretan itu, Intan atau nama sebenar, Intan Liana Saleh menulis dengan menggambarkan niat itu umpama surat dan tidak boleh salah alamat jika nak dikirimkan.

“Niat itu seperti surat. Salah tulis alamat, akan sampai salah tempat. Setiap orang akan kembali kepada apa yang diniatkan. Jadi, betulkan niat (berserta emoji hati berwarna hijau).

“Selagi tak ada rasa bahagia. Selagi ada kesulitan. Mana mungkin akan melupakan. 

“Lihat pada situasinya, jika ikhlas hanya Allah, aku dan dia (berserta emoji hati warna berhijau),” tulisnya.

Malah, pada kapsyen fotonya yang dimuat naik itu, Intan turut menyertakan dua tanda pagar iaitu #buatapayangAllahsuka dan #akubukansiapasiap

Rentetan itu, rata-rata pengikut Intan membuat andaian luahan berkenaan ada kaitannya dengan pertemuan ibu tunggal terbabit dengan Izreen yang dilakukan ketika rakaman program Melodi Raya, baru-baru ini.

Malah, dalam ratusan komen yang ditinggalkan warganet, komen ditulis penerbit dan pelakon, Nazia Mustafar begitu menjadi perhatian ramai kerana dia turut memetik Instagram pelakon Rita Rudaini.

“Kesian adik aku ni kena game, permainan demi permainan@ritrud727, haaa kan nampaklah konon-konon baik nak minta maaf, orang akan kata pulak ko yang taknak maafkan dik, tapi orang tak tahu apa jadi selama ni, ” tulisnya.

 

Nazia yang turut menjawab komen salah seorang warganet memaklumkan hanya dia dan Rita sahaja tahu apa permainan nak dipersembahkan.

Sementara itu, seorang warganet turut mempersoalkan tindakan pihak Melodi yang disifatkan membuli Intan apabila mempertemukannya dengan Izreen pada program Melodi Raya yang ditayangkan di TV3, hari ini.

Penerbit Melodi, Noradillah Abdullah atau Adeed berkata pihaknya terlebih dahulu mendapatkan persetujuan kedua pihak.

“Kami ada etika. Bukan buli seperti apa yang awak cakap tu. Pertemuan atas persetujuan Intan dan Izreen  juga. Sebelum jemput pun kami sudah fikir.

“Kalau salah seorang tak setuju, dua-dua pun kami tak jemput. Harap faham konsep segmen tu,” katanya.

Menerusi hantaran di IG Intan, ada juga segelintir pengikut menyifatkan tindakan bermaaf-maafan dibuat adalah terbaik walaupun apa yang sudah berlaku masih sukar untuk dilupakan.

 

Tidak ketinggalan, ramai juga yang mendoakan semoga Intan akan dipertemukan dengan seorang lelaki dan jodoh terbaik buatnya serta anak-anak.

Intan adalah bekas isteri kepada pemuzik bebas, Ude Wahid atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid yang kini suami, Izreen.

 

Intan dan Ude bernikah pada 1 Mac 2013, sebelum bercerai talak satu pada 22 Mac 2018. Pasangan ini bercerai selepas Ude mengahwini Izreen pada 8 Ogos 2017 pada sebuah majlis tertutup.

Hasil perkongsian hidup Intan dan Ude, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri, 4.

Menerusi Harian Metro semalam, melaporkan Izreen mengaku dia sudah meminta maaf kepada Intan sebanyak tiga kali ketika pertemuan mereka pada rakaman program Melodi Raya berkenaan.

Izreen turut beranggapan doanya untuk bertemu dan memohon maaf secara bersemuka dengan Intan akhirnya dimakbulkan oleh Allah berikutan dia juga sudah lama menyimpan hasrat itu.

Dalam pada itu, Izreen kini hamil lima bulan untuk kali ketiga dan anak keduanya bersama Ude. Sebelum ini, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, 

Aaron Ibrahim, berusia dua tahun, selain Izreen juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Adrian Umar daripada perkahwinan lalunya.

Sumber: Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *