Hiburan

“Bawa Baju Satu Beg Pegi Shooting, Tak Tahu Dapat Karakter Apa” – Jaafar Onn Tak Kisah Diberi Watak Ibl1s

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan pengarah tersohor Mamat Khalid telah menemui penonton bermula 15 April yang lalu.

Sudah berjaya meraih jumlah kutipan sebanyak RM3 juta dalam masa 10 hari, watak-watak di dalam filem ini tular di laman sosial antaranya Barkoba, Yah Kucai dan Abang Jay.

Bagi Jaafar Onn yang memegang watak sebagai Tyson 2 ataupun Abang Jay, dia sudah lama bekerjasama dengan Mamat Khalid dan amat menyenangi pengarah tersohor itu.

“Sebenarnya saya dah banyak kali berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid antaranya Rock Oo jadi saya ada pesan dengan dia, lain kali panggil la kalau nak berlakon. Kebetulan Mamat pun beritahu yang dia ada watak yang sesuai dengan saya dalam filem 18 Puasa dan saya pun free waktu tu, saya terus kata okay,” kata Jaafar kepada Gempak.

Jaafar ditemui ketika menjadi tetamu bagi promosi Ramadan Syawal bertempat di Plaza Shah Alam, Seksyen 9, Shah Alam pada Ahad.

Tambah Jaafar lagi, dia tidak menyangka akan diberikan watak ibl1s sehinggalah tiba di tempat penggambaran.

“Penggambaran dijalankan di Kuala Kangsar selama lima hari. Saya bawak baju satu beg ye sebab masa tu tak tahu watak apa. Hari saya shooting tu, Mamat kata tak payah bawa baju, baju semua disediakan. Bila sampai di set, rupanya jadi ibl1s. Tapi saya tak kisah pun,” jelas Jaafar lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

 

 

 

Sumber: Gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *