Viral

Bermula jadi tukang isi minyak, kerani bawa motor buruk hingga bergelar Inspektor… Isteri terima seadanya walau PJJ lebih 3 tahun – “Ada hikmah kena ‘rej3ct’ 2 kali”

SETIAP hubungan ada dugaannya, terutama bagi mereka yang menjalinkan hubungan jarak jauh.

Menerusi satu video di aplikasi TikTok, tular pasangan yang mengenali antara satu sama lain sejak 14 tahun lalu di zaman persekolahan sehingga bergelar suami isteri.

Namun, apa yang menjadi perhatian adalah kisah mereka terutama tentang suami yang dahulunya hanya bekerja ‘biasa-biasa’ sehingga menjadi polis berpangkat Inspektor.

Suami berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Inspektor Ruzaimi berkata, dia tidak menyangka videonya tular kerana ia dibuat bagi menghargai isterinya.

(kiri) Tamat pengajian di UiTM sebelum menjadi tukang isi minyak (kanan).

Berkongsi kisahnya, Ruzaimi yang berusia 31 tahun itu memberitahu, dia mengenali rapat isterinya yang ketika itu sama-sama belajar di tingkatan lima di Sekolah Menengah Belara di Manir, Kuala Terengganu di Terengganu pada 2007.

“Sebelum mengenali dia (kini isteri), saya sebenarnya menyukai seorang pelajar perempuan lain, tapi kena reject. Selepas tu suka seorang pelajar lagi, pun kena reject juga.

“Mungkin masa tu saya selekeh, tak pandai bergaya. Tahun 2007 nak ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) baru saya kenal dia dan kami mulai rapat,” katanya kepada mStar.

 

Ketika menjadi kerani dan menggunakan motosikal ke tempat kerja.

Ruzaimi berkata, kedua-dua mereka menyambung pengajian di universiti berbeza di mana dia belajar dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi dan Pengurusan Perladangan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dan isterinya dalam bidang perguruan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Tanjung Malim, Perak.

“Hubungan kami pernah putus sekejap ketika masing-masing di universiti tetapi kembali bersama semula. Tamat pengajian pada 2012, saya bekerja tukang isi minyak di stesen minyak dan tolong ayah yang bekerja sebagai tukang rumah.

“Pada 2015 saya dapat kerja sebagai kerani di Bukit Aman, Kuala Lumpur (KL). Masa tu saya cuma pakai motosikal buruk je, tapi bolehlah untuk bergerak ke tempat kerja,” ujarnya.

 

Isteri (kanan) setia menemani setiap kali ‘outing’ sepanjang latihan di Pulapol.

Baru tiga bulan bekerja sebagai kerani pada Mei 2015, dia nekad untuk bertunang dan pada tahun yang sama, tunangnya itu menerima tawaran berkhidmat sebagai guru di Melaka.

“Lepas 10 bulan bertunang, kami memutuskan untuk berkahwin pada Mac 2016. Tapi hubungan masih jarak jauh, saya di Kuala Lumpur dan isteri di Melaka.

Allah pertemukan jodoh saya dengan seorang wanita yang menghormati dan menyayangi saya from zero, daripada tak ada apa-apa

INSPEKTOR RUZAIMI

“Baru tiga bulan kahwin, saya dapat tawaran pelantikan sebagai inspektor dan dua bulan kemudian pada Ogos 2016, saya menjalani latihan di Pulapol (Pusat Latihan Polis) di KL.

“Alhamdulillah, waktu ni saya dah ada kereta sendiri dan ia digunakan isteri di Melaka dan dia berulang-alik ke KL untuk berjumpa dengan saya sepanjang tempoh latihan selama sembilan di Pulapol. Tiap-tiap minggu dia tak pernah jemu datang temankan saya outing,” katanya.

 

Ruzaimi (kiri) bersama isteri ketika tamat latihan di Pulapol.

Selesai tamat latihan di Pulapol, kata Ruzaimi, dia kemudian bertugas di Kuala Lumpur pada 2017, manakala isterinya masih berkhidmat sebagai guru di Melaka.

“Alhamdulillah, isteri kemudian dapat dipindahkan ke KL pada akhir 2018. Berakhirlah PJJ (perhubungan jarak jauh) lebih tiga tahun,” katanya dengan nada ceria.

 

(kiri) Bertunang pada Mei 2015 dan (kanan) berkahwin pada Mac 2016.

Walaupun pelbagai dugaan dalam hubungan jarak jauh, Ruzaimi menyifatkan isterinya sebagai seorang wanita yang amat memahami dan bertolak ansur.

“Dia terima saya seadanya, dari saya cuma biasa-biasa, kerja tukang isi minyak kereta dan buat rumah orang je, sampai jadi kerani guna motosikal buruk pun, dia tetap ada.

“Jujurnya, gaji dia lebih tinggi daripada saya sebagai kerani ketika itu. Tapi isteri tak pernah pandang rendah pada saya, malah dia lebih bertolak ansur.

“Ada hikmah di sebalik saya kena reject dua kali semasa di sekolah dahulu, sebab Allah pertemukan jodoh saya dengan seorang wanita yang menghormati dan menyayangi saya from zero, daripada tak ada apa-apa. Syukur alhamdulillah,” katanya.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *