Hiburan

“Mungkin Allah kurniakan mereka untuk saya tebus kesalahan masa lalu” – Jamal Abdillah

MEMBESARKAN dua cahaya mata yang tidak jauh beza usia, penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah mengakui ia satu tanggungjawab yang berat dan memenatkan.

Menurut Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, isterinya iaitu Datin Zai Izzati Khiruddin juga kelihatan letih menguruskan dua anak mereka yang masih kecil.

Penyanyi berusia 62 tahun ini bagaimanapun menganggap anak-anaknya satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah untuk menebus segala kesalahannya di masa lampau.

Jamal bersama anak lelakinya yang berusia dua bulan.

“Anak pertama berusia setahun dua bulan dan baby kedua ini dah dua bulan… agak meletihkan juga. Saya tengok orang rumah saya pun nampak letih sangat.

“Saya pun ada juga membantu dia dalam menguruskan anak-anak. Saya bersyukur di usia sekarang ini masih dikurniakan anugerah cahaya mata dan ia pasti datang dengan tanggungjawab yang besar untuk saya membesarkan mereka.

“Mungkin ini sesuatu yang Allah kurniakan (anak-anak) untuk saya menebus segala kesalahan-kesalahan masa lalu. Tapi tanggungjawab ini memang berat tapi saya tetap bersyukur,” katanya kepada mStar.

Penyanyi lagu Belenggu Rindu ini ditemui ketika sesi ramah mesra bersama finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.

Kita sebagai penyanyi kena sampaikan sesebuah lagu dengan sebaik mungkin.

JAMAL ABDILLAH

PENYANYI

Pada 11 November tahun lalu, Jamal berkongsi berita gembira mengenai isterinya selamat melahirkan cahaya mata lelaki secara pembedahan yang diberi nama El Issac Yamani di sebuah pusat perubatan di Ipoh, Perak.

Selain El Issac Yamani, Jamal yang mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada April 2017 juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Nur Azura Yamani yang lahir pada 10 Oktober 2019.

Penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu turut dikurniakan dua anak lelaki, Osama Yamani, 20 dan Ahmad Zaki Yamani, 15 menerusi perkahwinan terdahulu.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai kerjasama dengan penyanyi muda, Jamal memberitahu dia tidak menganggap ia satu isu menumpang populariti mana-mana pihak.

Jamal bergandingan dengan Wany Hasrita menerusi lagu Belenggu Rindu.

Kata Jamal, seseorang selebriti itu yang sudah lama atau masih baharu dalam industri seni sepatutnya tidak boleh mempunyai sifat sombong dalam diri.

“Bila saya berada di arus perdana, saya harus bergabung dengan pelbagai genre untuk saya sentiasa berada dalam industri. Jadi, salah satu formula yang menjadi.

“Sebenarnya soal menumpang populariti, itu bukan satu isu. Yang penting kita jangan bangga diri anggap legenddan lama industri. Kita sebagai penyanyi kena sampaikan sesebuah lagu dengan sebaik mungkin.

“Kalau anggap diri itu legend dan tak harus bekerjasama dengan orang baharu, itu satu sikap yang tak baik dan tak bagus. Sikap sombong ini sesuatu yang tidak sepatutnya ada dalam diri seseorang itu,” ujarnya.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *