Hiburan

14 tahun bersama Sinar, khidmat Abby Fana berakhir hari ini

KUALA LUMPUR: Selepas 14 tahun bersama Sinar, hari ini Abby Fana menamatkan khidmatnya sebagai penyampai radio di stesen berkenaan.

Abby yang sangat sinonim dengan segmen Sembang Sinar akan membawa haluan sendiri berikutan memenuhi amalan biasa dalam pentadbiran setiap organisasi.

Dalam perbualan dengan Astro AWANI, Abby atau mesra disapa Kak Bed oleh peminat-peminatnya mengakui, bukan mudah untuk dia menerima ketentuan bahawa jodohnya dengan Sinar sudah berakhir.

Namun, memahami bahawa, setiap permulaan ada pengakhirannya, Abby atau nama sebenarnya, Habsah Omar berkata, dia harus berlapang dada dengan keputusan yang dibuat oleh pengurusan stesen radio.

 

“Sudah 14 tahun dengan Sinar, mahu tak sedihnya. Pada awalnya, saya fikir saya kuat untuk melaluinya, namun, pada terakhir di konti, air mata saya tumpah juga. Sukar untuk saya gambarkan kesedihan dan kepiluan itu, namun, sebagai manusia, saya harus rasional menerima kedatangan saat ini,” kata Abby.

Menurut Abby, sebetulnya, dia sudah dimaklumkan oleh pihak pengurusan sejak dua bulan lalu bahawa kontraknya dengan Sinar akan berakhir pada hujung tahun ini.

Sejak dua bulan lalu itu juga, ujar Abby, dia sudah mengingatkan dirinya bahawa bermula Januari 2021 khidmatnya akan berakhir dan suaranya tidak akan kedengaran lagi di radio.

“Saya ada ruang masa dua bulan untuk membuat persiapan mengakhiri tugas dan akhirnya masa itu tiba juga. Saya hargai kesetiaan peminat-peminat saya yang tidak jemu-jemu menyokong saya sepanjang bersama Sinar,” kata Abby.

 

Selama 14 tahun, Abby berkata, dia dan team stesen berkenaan membelai Sinar dengan penuh kasih dan sayang.

Lantaran itu, tidak hairanlah kenapa Abby yang bakal mencecah usia 55 tahun pada 2021 berkata, Sinar terlalu dekat dengan jiwanya.

Lebih-lebih lagi segmen Sembang Sinar yang disifatkannya sebagai platform paling sentimental kepadanya secara peribadi.

“Ikatan saya dengan Sinar terlalu kuat. Sembang Sinar membuka ruang untuk saya berkarya dengan bebas. Bersama Sinar saya mengenali ramai kawan dan peminat baharu. Terima kasih untuk 14 tahun yang sangat indah. Terima kasih pengurusan Sinar dan Astro atas kesempatan dan rezeki yang diberikan buat saya selama 14 tahun,” kata Abby lagi.

Sekalipun tidak akan bersama dengan Sinar lagi, namun, Abby optimis saluran radio itu akan terus kekal bertakhta di hati peminat.

Abby juga yakin pengurusan stesen akan terus memastikan Sinar menjadi saluran radio pilihan ramai.

“Cinta dan kasih saya pada Sinar akan sentiasa melekat di jiwa saya,” ujar Abby mengakhiri perbualan.

Sumber: Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *