Hiburan

Michael Ang seorang yang sangat baik – Noraniza Idris

 

Putrajaya: Konflik antara penyanyi, Noraniza Idris, dan pengarah Michael Ang akhirnya terlerai apabila keduanya kembali berdamai dalam satu pertemuan diatur pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020), semalam.

Menurut Noraniza, dia memang berhajat untuk bertemu Michael untuk mengenalinya secara peribadi disebabkan tidak pernah rapat sebelum ini.

Noraniza Idris meluahkan hasrat untuk bertemu Michael Ang selepas persembahan dikritik pengarah tersebut.

 

“Saya ingin memohon maaf secara bersemuka dengan Michael atas apa yang berlaku antara kami. Ternyata, dia adalah seorang yang sangat baik meskipun ramai nampak dia lantang bersuara.

“Saya juga sudah menegur peminat untuk menjaga tutur kata dalam berbicara mengenai apa yang berlaku. Saya tidak mahu mereka mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur rasis,” katanya.

Bagi Michael pula, dia memaklumkan dirinya tiada masalah pun hendak bersemuka dengan penyanyi Dikir Puteri itu

Bila saya jumpa Mike, ternyata orangnya baik. Jadi saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Michael atas segala apa yang berlaku sebelum ini.

NORANIZA IDRIS

PENYANYI

“Mungkin kenyataan saya agak kasar seolah-olah bersifat peribadi terhadapnya sebelum ini. Apa yang saya luahkan di Twitter adalah jujur daripada sudut peminat program realiti dan bukannya sebagai rakan industri.

“Jujur, saya tiada masalah dengan Noraniza. Cumanya, saya terkesan apabila ada komen yang sampai menyentuh mengenai niat saya masuk Islam disebabkan mahu perhatian, itu saya marah.

“Saya tidak akan berhenti untuk kongsi pendapat jujur mengenai industri selepas ini. Orang pun sudah tahu bukan bagaimana mulut saya ini,” katanya.

Nama Noraniza Idris kembali diperkatakan selepas dia membuat kemunculan semula dalam Gegar Vaganza musim ketujuh.

Terdahulu, pada peringkat separuh akhir konsert Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Michael dilihat lantang memberikan komen persembahan Bollywood yang dinyanyikan oleh Noraniza.

Sehubungan itu, Noraniza meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan pengarah itu selepas tamat program berkenaan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila seorang pengguna Facebook yang merupakan peminat Noraniza telah menyentuh isu status mualaf Michael dan mempersoalkan tujuan utamanya memeluk agama Islam kerana ingin mendapatkan simpati dan populariti daripada masyarakat.

Sumber: Metro via Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *