Hiburan

Bukan jenis meminta, Beto Kusyairy siap sedia ‘payung’ jika tak boleh bekerja

BIMBANG hilang mata pencarian akibat hal tidak diduga seperti penularan Covid-19, pelakon Beto Kusyairy berkata dia sudah bersiap sedia dengan membuat simpanan sejak daripada awal bergelar anak seni.

Menyedari kerjaya sebagai pelakon tidak mempunyai pendapatan tetap, Beto berkata dia perlu berfikiran jauh dan menyiapkan diri dengan sebarang kemungkinan terutamanya soal kewangan.

“Sekarang ini dengan penularan Covid-19 mungkin sedikit sebanyak mengganggu pendapatan anak seni… cumanya dalam hal ini saya beruntung kerana ada simpanan dan memang dah fikir jauh kalau apa-apa berlaku saya kena bersedia.

“Sejak awal saya buat persediaan kerana tahu kerja ini pendapatan tak menentu, kita tak ada gaji tetap! Kalau bukan sebab C0v1d-19 pun saya dah memang bersiap-sedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Saya pula bukan jenis suka meminta… bukan nak kata saya sombong tapi saya sedar kita ni punya budaya dan keadaan di mana kita tak boleh harap orang lain, jadi saya kena usaha sendiri,” katanya kepada mStar.

Beto sedar kerjaya lakonan tidak menjamin pendapatan tetap.

Pada Mac lalu, kecoh apabila beberapa selebriti menyuarakan pandangan mereka mengenai anak seni khususnya artis veteran dan pekerja belakang tabir perlu dibantu kerana terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Isu tersebut mendapat perhatian netizen yang kurang senang kerana menganggap golongan artis mempunyai kehidupan mewah seperti yang sering dipamerkan di media sosial.

Saya tak nafikan terasa hati apabila kawan-kawan dikutuk dan diperlekehkan tapi dalam masa sama saya tak salahkan netizen yang keluarkan komen sedemikian.

BETO KUSYAIRY

PELAKON

Mengulas mengenai kecaman netizen itu, aktor berusia 40 tahun ini mengakui dia turut berkecil hati apabila melihat rakan-rakan artis dihina dan diperlekehkan.

“Saya tak nafikan terasa hati apabila kawan-kawan dikutuk dan diperlekehkan tapi dalam masa sama saya tak salahkan netizen yang keluarkan komen sedemikian.

 

Beto bergandingan bersama Fasha Sandha dalam filem Aku Bukan Gila.

“Saya minta rakan industri bersabar dan terus buat kerja kita… percaya Allah ada untuk membantu! Kita tak boleh nak tutup mulut orang, mereka tak ada dalam kasut kita begitu juga sebaliknya.

“Berlakon ni pun salah satu kerjaya sama macam doktor, petani dan cikgu… kita pun bayar cukai, macam biasa tak ada apa kelebihan pun,” ujarnya.

Bercakap mengenai kerjaya seni, Beto muncul menerusi filem Aku Bukan Gila arahan Rahila Ali yang boleh ditonton menerusi saluran penstriman, WeTV iflix.

Dalam filem terbitan Pencil Pictures And Records itu, Beto membawakan watak Andre yang mengisahkan mengenai masalah kesihatan mental yang sering dipandang remeh oleh masyarakat.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *