Viral

Demi foto kahwin ‘tak buat-buat’, jurugambar terpaksa layan sebak, angkut 3 ‘light stand’ – “Ambil gambar keluarga, pengantin minta satu tempat dikosongkan”

HASIL fotografi yang cantik pastinya menjadi impian setiap pengantin untuk diabadikan sebagai kenangan terindah.

Senyum, nampak anggun dan elegan antara ciri yang mesti ada dalam setiap keping foto!

Namun, tidak ramai yang menyedari keindahan di sebalik gambar-gambar yang dirakamkan secara spontan.

Begitulah yang dirasai oleh seorang jurugambar perkahwinan yang sanggup berkejar ke sana ke mari demi momen yang tidak dibuat-buat kerana baginya ia adalah sesuatu yang begitu berharga.

 

Perkongsian Muhazim di laman sosial menjadi perhatian.

Jurugambar berkenaan, Muhazim Mahdzar berkata, pengalamannya mengambil gambar perkahwinan sejak lima tahun lalu membuatkan hatinya terdetik untuk melakukan kelainan.

Anak muda berusia 27 tahun itu memberitahu, reaksi secara spontan sama ada dalam kalangan pengantin, keluarga kedua-dua belah pihak mahupun tetamu mempunyai nilai tersendiri.

“Reaksi seperti kandid ini bukan dibuat-buat untuk sekeping gambar, tetapi lebih kepada momen mereka berkongsi perasaan dalam majlis yang bersejarah buat pengantin.

“Momen yang boleh nampak reaksi mereka secara spontan mahupun beremosi ketika pengantin atau keluarga mereka memberikan ucapan penghargaan.

“Setiap ucapan akan membangkitkan rasa sebak, gembira, ketawa dan tangisan air mata. Semua momen ini jika berjaya dirakamkan, itulah yang paling mahal, ” katanya kepada mStar.

 

Reaksi spontan pasangan pengantin. Foto karmaxproduction

Maka tidak hairanlah jurugambar yang sudah mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu ini sanggup berpenat lelah untuk mendapatkan hasil rakaman lensa yang sarat dengan emosi.

“Terkejar-kejar cari momen yang bukan dibuat-buat masa majlis kahwin satu perkara biasa bagi saya. Tapi paling mencabar bila nak kena bawa light stand (tiang lampu) ke hulu ke hilir.

Momen ketika itu rasa begitu berbeza. Wajah mereka mungkin senyum, tapi reaksi mereka sebenarnya adalah sebaliknya. Saya pun rasa sebak.

MUHAZIM MAHDZAR

“Kebiasaannya satu majlis kahwin akan ada beberapa jurugambar jadi lebih mudah kerja. Tapi saya hanya saya seorang jurugambar bertugas, ada tiga light stand!

“Ya Allah, masa tu hanya Tuhan saja yang tahu betapa tercungap-cungap saya berkejar untuk angkut tiga light stand dalam satu majlis. Rasa macam buat maraton!” ujar anak sulung dari tiga beradik itu.

 

Momen kandid yang menjadi perhatian. Foto karmaxproduction

Menurut Muhazim, bukan mudah untuk mendapatkan kesempurnaan dari segi pencahayaan terutama majlis perkahwinan yang berlangsung di dalam dewan atau waktu malam.

“Sebab itulah perlunya light stand walaupun majlis kahwin dah ada lampu atau diadakan di siang hari. Bila ada ekstra cahaya, reaksi seseorang itu akan menyerlahkan lagi emosinya.

“Berpeluh-peluh angkut light stand itu sudah semestinya demi gambar-gambar momen yang terbaik, reaksi yang tidak boleh diulang atau dilakonkan semula,” tambahnya.

Sebagai jurugambar, Muhazim juga mengaku merasai sendiri momen suka-duka sepanjang berkhidmat di majlis perkahwinan kerana dapat menyaksikannya di depan mata.

 

Muhazim mengambil gambar-gambar momen untuk mencari kelainan. Foto karmaxproduction

“Ada pengantin baru kehilangan ayah tetapi majlis perkahwinan tetap diteruskan. Bila nak ambil gambar keluarga di pelamin, pengantin minta satu tempat dikosongkan.

“Pengantin tak minta gambar arwah ayahnya disunting dan dicantumkan dalam gambar, tetapi dibiarkan kerusi kosong begitu. Mereka bergambar seperti biasa.

“Tapi momen ketika itu rasa begitu berbeza. Wajah mereka mungkin senyum, tapi reaksi mereka sebenarnya adalah sebaliknya. Saya pun rasa sebak,” katanya.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *