Hiburan

Shuib hadiahkan jam tangan mewah sempena hati jadi Siti Sarah

Shuib Sepahtu menghadiahkan isteri tersayang, Siti Sarah Raissuddin seutas jam tangan jenama mewah bernilai puluhan ribu ringgit sempena hari jadi ke-36 penyanyi itu.

Sarah yang menyambut ulang tahun kelahiran, hari ini, diberi kejutan pada majlis sambutan hari jadi di sebuah hotel di Subang Jaya, malam tadi.

Mengaku jam tangan mewah itu menjadi antara hadiah paling mahal pernah diberi suami, Sarah yang tidak suka memakai aksesori perlu belajar menyarung jam tangan, mulai sekarang.

 

“Saya hargai pemberian suami. Jika hendak diikutkan, saya bukan jenis materialistik. Kalau orang tak suruh beli atau belikan untuk saya, memang tidaklah saya berbuat demikian.

“Setakat ini, tas tangan berjenama antara yang saya beli untuk ganjaran selepas bekerja keras.

“Saya bukan suka pakai aksesori termasuk jam tangan sejak zaman sekolah. Tetapi sekarang, kenalah mula pakai jam tangan,” katanya ditemui pada majlis sambutan hari jadinya di sini, malam tadi.

Sarah yang baru-baru ini membuat permohonan maaf kepada masyarakat Orang Asli atas kontroversi video promosi syampu, percaya angka 36 pada usia melambangkan kematangan diri.

 

“Semoga saya terus dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Harapnya segala urusan dunia akhirat saya dipermudahkan.

“Moga saya terus mendapat memberi manfaat dan mempengaruhi orang lain dalam segala segi termasuk perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Shuib mempunyai alasan kukuh menghadiahkan jam tangan mewah kepada isterinya.

“Sebelum ini, saya paksa isteri pakai gelang emas biarpun tahu dia tidak suka aksesori. Sekarang saya hadiahkan jam tangan supaya dia boleh aturkan masa dengan baik.

“Apatah lagi, isteri cemerlang dalam perniagaan kecantikannya. Jika diikutkan, tahun lalu, syarikatnya hampir gulung tikar,” katanya.

 

Shuib yang genap 36 tahun, Sabtu lalu, turut dihadiahkan beg sandang berjenama oleh Sarah.

Pasangan ini mempunyai tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin.

Pada sambutan hari jadi itu, Sarah menyumbangkan suara mendendangkan beberapa lagu termasuk berduet dengan bapanya, Raissuddin Hamzah dan Mark Adam.

Sumber: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *