Hiburan

Pr0fesi0nal! Khir Rahman ketepi isu hut4ng, bergandingan dengan Ogy dalam telefilem – “Itu masalah kami berdua, tiada kaitan orang lain”

PELAKON dan pengarah, Khir Rahman memilih untuk bersikap profesional digandingkan bersama Fauziah Ahmad Daud dalam telefilem Pencipta Pegang Waktu (TV3) yang baru selesai menjalani penggambaran pada Isnin.

Khir atau Khairulizam Abdul Rahman, 47, berkata isu tuntutan bayaran tertangguh teater Korupsi Dewan Semandung hanya membabitkan mereka berdua dan tiada kaitan dengan produksi telefilem berkenaan.

“Saya sebagai pihak yang menuntut hutang mungkin tak rasa janggal sangat, tapi di pihak dia mungkin ada rasa lain! Apa-apa pun saya cuba elakkan rasa serba salah itu supaya penggambaran kami semua lancar.

“Alhamdulillah proses penggambaran berjalan baik tanpa timbul sebarang isu. Kami dah kenal lama dan industri kita pun kecil… ke mana pergi tetap akan berjumpa!,” katanya kepada mStar.

 

Netizen puji sikap profesional yang ditunjukkan Ogy dan Khir.

Pada Ahad lalu, tersebar foto Khir bersama Fauziah atau Ogy dan Que Haidar menjalani penggambaran telefilem tersebut di laman Instagram.

Rata-ratanya memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh Khir sepanjang berlakon dalam telefilem istimewa sempena Aidiladha ini.

Pada Mei lalu, beberapa pelakon teater Korupsi Dewan Semandung memuat naik status di laman sosial mendakwa Ogy mendiamkan diri selepas didesak untuk melunaskan bayaran tersebut.

Saya dan Ogy sudah kenal lama, dia tahu saya bukan orang yang suka buat hal dan dia tahu saya sentiasa profesional apabila membabitkan hal kerja

KHIR RAHMAN

PELAKON DAN PENGARAH

Namun, Ogy yang juga pemilik Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn Bhd, menafikan dia melarikan diri dan memberitahu sedang berusaha mencari dana bagi menyelesaikan bayaran tertunggak itu.

Sementara itu, Khir berkata, dia sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak produksi mengenai penglibatan Ogy dalam telefilem berkenaan.

“Ya! saya tahu Ogy ada berlakon sekali setelah dimaklumkan produksi… saya tiada masalah untuk berlakon sama.

 

Ogy bersama barisan pelakon teater Korupsi Dewan Semandung.

“Saya dan Ogy sudah kenal lama, dia tahu saya bukan orang yang suka buat hal dan dia tahu saya sentiasa profesional apabila membabitkan hal kerja,” ujarnya.

Ditanya mengenai bayaran teater Korupsi Dewan Semandung yang masih belum dilunaskan, Khir berkata mereka masih belum menerima bayaran tertangguh itu.

Bagaimanapun dia dapat melihat usaha yang dilakukan oleh pelakon filem Ali Setan itu dalam menyelesaikan masalah itu.

“Soal bayaran belum tahu lagi bila akan selesai. Saya pun tak mahu hukum dia atas apa yang berlaku tapi saya nampak usaha itu ada.

“Buat masa ini kita dah tak boleh ikut kontrak perjanjian itu… dia dapat bayar sikit-sikit pun kita terima!,” katanya.

Sumber:Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *